PUSAT JAGAAN DAN ASUHAN

RAUDHATUL IKHWAN

no 11, Jalan Jingga U9, J alan Subang Permai 12, Desa Subang Permai, Seksyen U9, 40150 Shah Alam Selangor Darul Ehsan

H/P : 013-2570177 / 019-4168745 TEL / FAX : 03-78421127

e-mail : raudhatulikhwan@yahoo.com website : raudhatulikhwan.blogspot.com ( SA0117579 – M )

23 JUN 2010

Assalamualaikum,

Tuan,

MEMOHON BANTUAN ZAKAT / SUMBANGAN DAN JEMPUTAN BERBUKA PUASA UNTUK ANAK-ANAK YATIM, ZAKAT ASNAF BAGI RUMAH RAUDHATUL IKHWAN SEMPENA RAMADHAN AL MUBARAK

Merujuk kepada perkara di atas dengan rendah hatinya, saya Rubaizah bt Md Rejab, sebagai pengasas dan penyelia Pusat Jagaan, Asuhan dan Bimbingan Raudhatul Ikhwan yang beralamat seperti di atas, ingin meminta / memohon jasa baik pihak Tuan untuk tajaan/ sumbangan/ bantuan bagi memudahkan perjalanan Raudhatul Ikhwan khususnya dalam bidang pembelajaran dan pengurusan am Raudhatul Ikhwan.

2. Raudhatul Ikhwan adalah sebuah pusat jagaan dan asuhan yang menaungi 30 orang pelajar perempuan yang terdiri daripada anak yatim, fakir miskin, remaja insaf, dan asnaf zakat. Ditubuhkan pada March 2009, bertempat seperti yang beralamat di atas iaitu disebuah rumah sederhana mempunyai 4 bilik dengan hanya 16 orang anak-anak pada awalnya. Disitu jugalah dijadikan kelas untuk pembelajaran anak-anak ini. Anak-anak ini pada awalnya mereka tidak berminat untuk belajar dan bersekolah, maka Raudhatul Ikhwan mengambil peranan mendidik dan memimpin mereka terutama didalam pembinaan akhlak dan syahsiah mulia serta memberikan mereka pendidikan dan pembelajaran ilmu-ilmu asas seperti pengajian agama (Fardhu Ain) dan akademik. Atas kerana ini jugalah Raudhatul Ikhwan mengadakan kelas pengajian agama serta aktiviti-aktiviti lain untuk anak-anak yang tidak berminat belajar secara formal.

3. Pada tahun ini Raudhatul Ikhwan mengambil Premis 2 tingkat untuk tujuan pembelajaran dan asrama bagi penempatan anak-anak ini. Pertambahan pelajar yang semakin meningkat menjadi tanggungjawab pihak kami dalam menyediakan asrama dan pembelajaran yang bersistem.

4. Premis yang diambil beralamat di No 15 Jln Bola Jaring 13 /15, Seksyen 13, 40100 Shah Alam Selangor D.Ehsan. Bangunan tersebut adalah bekas sekolah rendah agama. Jadi keadaan bangunan yang sudah tersiap renovation juga kos sewa yang agak rendah iaitu RM 3000 sebulan, memudahkan pihak Raudhatul Ikhwan untuk mengambilnya. Namun bangunan itu perlu juga dibaiki dan dikemas kinikan untuk menjadikan lebih teratur dan bersistem. Pendaftaran bagi sekolah tersebut untuk didaftarkan dibawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang diproses dan dikemaskinikan bagi melancarkan perjalanan pembelajaran anak-anak ini. Keperluan utama yang diperlukan adalah berbentuk kewangan selain barangan seperti almari, katil, keperluan pejabat, computer, dan lain-lain.

5. Selain itu, Raudhatul Ikhwan sangat memerlukan kenderaan kerana buat masa ini kami hanya ada sebuah kereta yang digunakan untuk pentadbiran dan urusan anak-anak dirumah ini. Maka pihak rumah amal Raudhatul Ikhwan sangat mengharapkan sebuah van sebagai pengangkutan untuk kegunaan aktiviti harian anak-anak seperti mengangkut anak-anak ke sekolah, ke klinik, aktiviti kokurikulum, aktiviti ziarah serta memenuhi mana-mana jemputan dan undangan masyarakat, dan lain-lain kegunaan.

6. Kadar yuran yang tidak dikenakan kepada anak-anak ini atas masalah kesempitan keluarga masing-masing, membuatkan pihak Raudhatul Ikhwan menanggung sepenuhnya. Dengan ini memerlukan kos yang agak tinggi untuk membiayai anak-anak ini. Memandangkan Rumah ini merupakan satu pusat kebajikan yang baru, sumbangan amat diperlukan bagi membiayai pembelajaran, keperluan pengangkutan, menampung sewa rumah/ premis dan bil-bil, makan minum, utiliti, dan lain-lain yang memerlukan paling kurang RM 15,000 sebulan. Bersama-sama ini, kami lampirkan sekali Profail Raudhatul Ikhwan beserta dengan senarai kos perbelanjaan kami secara terperinci.

7. Sempena kedatangan Ramadhan dan sambutan Aidil Fitri yang tidak lama lagi akan kunjung tiba, kami sangat mengalu-alukan sumbangan/ jemputan untuk berbuka puasa dan persiapan hari raya atau undangan ke sebarang majlis untuk anak-anak yang tinggal di Raudhatul Ikhwan. Semoga anak-anak yang kurang bernasib baik ini berpeluang merasa diraikan dan terhibur dengan keprihatinan dari pihak-pihak yang berhati mulia dan pemurah. Kami juga mengalu-alukan kunjungan dan lawatan Tuan / Puan bagi meraikan penghuni Rumah ini.

8. Oleh itu, kami sangat mengharapkan sumbangan dan bantuan dari pihak Tuan dalam menjayakan cita-cita Raudhatul Ikhwan ini iaitu menjadikan anak-anak ini sebagai generasi harapan yang mampu berdikari dan berjaya juga menjadi aset yang berguna untuk agama, bangsa, dan Negara. Segala perhatian dan sokongan dari pihak Tuan, kami mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga. Semoga amalan baik ini akan dinilai disisi Allah Taala.

Sekian , Terima Kasih.

Yang diamanahkan,

(RUBAIZAH MD REJAB)

Pengurus Raudhatul Ikhwan

Monday, August 9, 2010

PENUTUP

PENUTUP

Kami pihak Raudhatul Ikhwan sangat berbesar hati dan sangat berterima kasih di atas segala keprihatinan serta sokongan yang padu dari pihak Tuan / Puan dalam membantu kami mempermudahkan segala yang diamanahkan dalam mengendalikan anak-anak di rumah Raudhatul Ikhwan ini.

Sekalung penghargaan kami ucapkan kepada pihak Tuan / Puan atas kerjasama dan bantuan yang diberikan. Semoga segala kebaikan dibalasi Tuhan dengan penuh rahmat dan kasih sayangNya, kerana Tuhan akan membalas kebaikan di atas setiap kebaikan yang dilakukan.

Sekian, terima kasih.


Yang diamanahkan,


Rubaizah Bt Md Rejab
PENGURUS RAUDHATUL IKHWAN
H/P : 013 – 2570177 / 019 – 2125676 / 019 – 4168745
TEL/FAX : 03 – 78421127
E-mail : raudhatulikhwan@yahoo.com
Website : raudhatulikhwan.blogspot.com

KEPERLUAN YANG DIPERLUKAN

KEPERLUAN YANG DIPERLUKAN

Berikut adalah keperluan yang diperlukan untuk melancarkan sistem kebajikan dan
pendidikan di Raudhatul Ikhwan :

► Kenderaan / Van
Untuk pengurusan pengangkutan anak-anak yang tinggal di asrama Raudhatul Ikhwan ke pelbagai jemputan, ke sekolah serta pengambilan barang-barang sumbangan dari para penyumbang dan juga urusan am rumah Raudhatul Ikhwan.

► Peralatan Pejabat baru / terpakai
Komputer, mesin fax, rak buku, meja, kerusi, white board dan lain-lain

► Peralatan persekolahan / perabot / almari pakaian dan katil baru / terpakai
Beg sekolah, alat tulis, buku latihan, pakaian seragam sekolah, kasut sekolah dan lain-lain.

► Buku-buku
Buku-buku ilmiah, rujukan, buku-buku cerita dan lain-lain bacaan diperlukan untuk membantu anak-anak di Raudhatul Ikhwan ini sekaligus menggalakkan mereka semangat membaca dan cintakan ilmu.

► Bantuan dan sumbangan kewangan tetap bulanan/ tahunan juga tajaan barangan makanan

► Program penyayang
Menaja anak-anak sebagai anak angkat akan membuatkan anak-anak ini akan merasakan
yang mereka juga sangat diraikan dan merapatkan hubungan di antara pihak Raudhatul
Ikhwan dan pihak penaja.

KOS PERBELANJAAN KEPERLUAN BULANAN


KOS PERBELANJAAN KEPERLUAN BULANAN


*Klik untuk gambar yang lebih besar!!

KEWANGAN

KEWANGAN

Tidak mendapat mana-mana sumbangan tetap dari mana-mana syarikat atau individu mahupun yuran pelajar melainkan sedikit sahaja dari beberapa individu secara berkala.

AKTIVITI HARIAN PENGHUNI RAUDHATUL IKHWAN


AKTIVITI HARIAN PENGHUNI RAUDHATUL IKHWAN

CARTA ORGANISASI dan PENTADBIRAN RAUDHATUL IKHWAN


CARTA ORGANISASI &PENTADBIRAN RAUDHATUL IKHWAN

SENARAI TENAGA PENGGERAK RAUDHATUL IKHWAN

SENARAI TENAGA PENGGERAK RAUDHATUL IKHWAN


1. Pn Rubaizah Bt Md Rejab


2. Pn Nor Liza Bt Che Mat


3. Pn Kursyiah Bt Mohd salleh


4. Afifah Bt Razak Ijazah Bahasa Arab, Al Azhar Universiti, Iskandariah Egypt

Ijazah Syariah Amman Universiti, Jordan

Ijazah Syariah Mu’tah Universiti, Jordan

SPM

PERKHIDMATAN YANG DISEDIAKAN

PERKHIDMATAN YANG DISEDIAKAN

Disamping menyediakan tempat tinggal untuk anak-anak, Raudhatul Ikhwan ini juga :

• Menyediakan segala sumbangan yang diterima bukan sekadar untuk anak-anak kurang bernasib baik di asrama Raudhatul Ikhwan ini, tetapi juga diberikan kepada anak-anak yatim dan asnaf zakat yang tinggal bersama keluarga mereka.

• Melatih anak-anak untuk menjadi penghibur kepada anak-anak yang senasib dengannya iaitu melalui aktiviti-aktiviti lawatan ke asrama-asrama anak-anak yatim yang lain dan mengadakan persembahan kebudayaan dan program motivasi.

• Menubuhkan Kelab remaja Putera / puteri bagi anak-anak tahap menengah dan Kelab anak-anak kesayangan raudhatul Ikhwan bagi anak-anak diperingkat kanak-kanak.

• Menyediakan khidmat kaunseling kepada ibu bapa / penjaga / waris yang berhadapan dengan masalah anak-anak remaja khususnya.

• Menyediakan aktiviti-aktiviti kemahiran seperti penulisan, jahitan, masakan, pertanian dan lanskap, kebudayaan, kepimpinan dan motivasi demi melahirkan peribadi anak-anak yang pandai berdikari.

• Mengadakan kelas pengajian Al-Quran, agama dan akademik yang asas, serta kelas kemahiran bahasa arab peringkat rendah, menengah dan dewasa.

PENGAMBILAN ANAK-ANAK RAUDHATUL IKHWAN

PENGAMBILAN ANAK-ANAK RAUDHATUL IKHWAN

Dalam keadaan anak-anak ini yang serba kekurangan disegi kehidupan, didikan dan juga persekolahannya, bahkan ada juga dikalangan mereka yang tidak berminat belajar secara langsung atas kehendak mereka sendiri, maka diambil mereka dengan bertujuan untuk mendidik dan mencorak mereka mengikut kemampuan dan kebolehan masing-masing.



OBJEKTIF

1. Membela anak-anak yang kurang bernasib baik serta memberi kasih sayang.
2. Mengenalkan mereka kepada Tuhan dan rasul sehingga mereka cinta dan takut hanya untuk Allah dan rasul.
3. Membimbing mereka dengan perkara-perkara asas iaitu fardhu ain dan fardhu kifayah seperti menjahit, pertanian, kebudayaan, ekonomi, motivator, dan lain-lain.
4. melahirkan anak-anak yang boleh berdikari dan menampung kehidupannya di masa akan datang.




MATLAMAT

Raudhatul Ikhwan bermatlamat tinggi untuk melahirkan masyarakat yang berkasih sayang dan aman harmoni, yang mengutamakan kepentingan orang lain berbanding diri sendiri, yang di dalamnya terjalin hubungan rapat antara golongan kaya dan miskin iaitu dengan menjadikan kebajikan sebagai satu agenda utama masyarakat untuk mencapai tahap hidup yang bahagia di dunia dan di akhirat. Orang kaya berfungsi sebagai “bank kepada masyarakat” dan mereka mampu untuk menyelesaikan masalah orang-orang miskin yang memerlukan.

Oleh kerana dari sifat-sifat pemurah terutama daripada orang-orang kaya dan berada, masyarakat islam terbela. Masyarakat islam cepat maju, kasih sayang terjalin sesama insan. Hubungan yang kaya dengan yang miskin rapat. Tiada jurang perbezaan sesama insan dan tiada lagi gejala sosial berlaku akibat tekanan dan kesusahan hidup. Akhirnya wujudlah perpaduan dan kerjasama. Masalah dalam masyarakat dapat diselesaikan kesan dari pemurahnya orang kaya dan kesan dari tawadhuknya mereka. Inilah masyarakat yang diidam-idamkan oleh semua bangsa dan agama.

Selain itu, antara matlamat lain adalah untuk melahirkan anak-anak di bawah jagaan Raudhatul Ikhwan ini berjaya disegi pembangunan rohaniahnya dan pembangunan material disamping menjadi seorang manusia yang berguna di masa depan. Ilmu dan pelajaran yang diikuti oleh mereka, juga latihan-latihan yang diberikan akan dimanfaatkan sebaik mungkin dan akhirnya menjadikan mereka seorang yang pandai berdikari dan mempunyai jati diri yang kuat dalam menempuh dugaan dan cabaran hidup.

JUSTIFIKASI RAUDHATUL IKHWAN

JUSTIFIKASI RAUDHATUL IKHWAN

Raudhah yang membawa maksud taman, sudah tentu tergambar difikiran kita sebuah taman yang kehijau-hijauan dihiai indah oleh bunga-bunga yang harum mewangi, subur juga diceriakan oleh warna-warna yang ceria. Itulah yang diharapkan dari Raudhatul Ikhwan agar setiap yang memandang akan terpesona dan merasa tenang juga menyejukkan setiap mata yang memandang. Penghuninya bak bunga yang menambat hati setiap insan dengan akhlak dan budi pekerti yang mulia.

Ikhwan dalam bahasa arab bermaksud saudara. Ikhwan kata Rasulullah “saudaraku”. Rasulullah sangat mencintai dan merindui Ikhwannya. Ikhwan itu kata Rasulullah, “mereka adalah yang datang sesudah kewafatanku dan tidak pernah berjumpa denganku tapi sangat mencintai dan mengamalkan sunnahku”. Kita sebagai orang islam adalah bersaudara. Tuhan berfirman yang bermaksud : “Sesungguhnya orang mukmin itu adalah bersaudara”. ( Al Hujurat – 10 )

Sabda Rasulullah yang bermaksud : “Orang mukmin terhadap saudaranya yang lain seperti sebuah binaan yang saling menguatkan diantara satu sama lain”.

Ikhwan itu bagaikan adik beradik. Kasih sayang mereka ibarat satu ibu dan satu ayah. Maka Raudhatul Ikhwan berusaha untuk membantu dan melaksanakan amanah mendidik dan menjaga anak-anak di bawah tanggungan Raudhatul Ikhwan ini.

Anak-anak yatim dan fakir miskin serta anak-anak yang layak menerima zakat serta bantuan adalah anak-anak kesayangan Allah dan Rasul. Maka sesiapa yang mengasihi dan membela mereka mendapat ganjaran dan keberkatan besar disisi Allah dan Rasul. Semoga anak-anak ini disayangi oleh setiap lapisan masyarakat yang prihatin terhadap nasib orang lain. Mereka perlukan perhatian, kasih sayang dan sewajarnya dianggap sebagai anak angkat dengan diberikan kasih sayang dan pembelaan.

PENUBUHAN RAUDHATUL IKHWAN

PENUBUHAN RAUDHATUL IKHWAN

Ditubuhkan oleh gabungan bekas pelajar-pelajar timur tengah di Syria, Jordan, Mesir, Iraq, dan Turki. Dengan berbekalkan semangat dan citi-cita untuk berkhidmat kepada masyarakat khususnya kepada anak-anak bangsa, agama, dan Negara.

Memandangkan keadan anak-anak bangsa yang terlalu rosak ditelan arus kemodenan, gejala sosial berleluasa, anak-anak yang tidak pandai mendisiplinkan diri, bahkan terlalu mengejar dunia yang penuh dengan hiburan, maka menjadikan mereka terus lalai sehingga tidak mampu untuk menguruskan diri sendiri malahan turut sama merosakkan orang lain dan ini sangat mengecewakan harapan dan amanah yang tinggi dari orang-orang tersayang kepada mereka. Justeru atas keprihatinan ini maka tertubuhlah sebuah rumah amal ini. Ini adalah untuk menyelamatkan mereka semua dari tidak melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya bahkan mengembalikan semula mereka itu kepada seorang yang sangat berguna dimata masyarakat dan orang-orang yang tersayang. Yang pentingnya menjadikan mereka itu seorang yang prihatin dengan tuntutan Tuhan yang menciptakan bahkan mampu melaksanakan perintah Tuhan dengan perasaan cinta dan takutkanNya.
PENGENALAN

Raudhatul Ikhwan adalah sebuah rumah kebajikan yang telah dibuka pada awal 2009 dibawah pendaftaran SA0117579 – M, yang beralamat no 11, Jalan Jingga U9, Jalan Subang Permai 12, Desa Subang Permai, Seksyen U9, 40150 Shah Alam Selangor Darul Ehsan. Raudhatul Ikhwan ini menempatkan seramai 30 orang yang terdiri daripada anak-anak fakir miskin, anak yatim dan golongan yang layak menerima zakat.